For Things To Change, We've To Change!

Cinta Budak Hostel



Bab 1: Disember yang Indah
Hujan renyai-renyai di luar rumah sepertinya memahami gejolak di hati Sofia. Dingin angin sepoi-sepoi bahasa menambah lagi kesejukan pagi Sabtu itu. Sesudah solat subuh, Sofia masih bermalas-malasan di atas tilam empuknya. Sengaja ditarik  selimut lalu menutupi seluruh badannya. Niat hatinya untuk keluar juga ke bandar hari itu diharapkan berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Sedari malam tadi sebelum melelapkan mata, Sofia telah merancang untuk membeli segala kelengkapan untuk ke asrama pada hari Sabtu yang berikutnya. Dia masih berkira-kira untuk pergi ke bandar bersama ibunya, Puan Haryati. Dia juga tahu kesibukan ayahnya, Encik Razif sepanjang minggu termasuk hari Sabtu sudah tentu tidak memberi ruang kepadanya untuk mempelawa bapa kesayangannya itu untuk pergi bersama-sama ke bandar. Jam di tepi katil menunjukkan tepat pukul 6.15 pagi. Sayup-sayup kedengaran ayam jantan berkokok sahut-bersahutan. Dalam berangan-angan itu, Sofia menyambung semula tidurnya. Hujan renyai-renyai di luar rumah masih belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Inilah hujan di bulan Disember.  
Tuk…tuk…tuk… bertalu-talu  ketukan di pintu bilik. “Sofia, sudah solat subuh ke belum sayang?”, kedengaran suara Puan Haryati di hadapan bilik puteri keduanya itu. Sambil memulas tombol pintu, Puan Haryati tersenyum dengan perangai anaknya ini yang suka berselimut penuh seluruh badan. Tiada sebarang jawapan daripada Sofia.  Sekali lagi soalan yang sama diajukan oleh Puan Haryati kepada Sofia dan kali ini Sofia mula tersedar bila dia terasa ada tangan lembut yang mengusap dahinya. “Sofia sudah solat Subuh ibu, jam 6 pagi tadi”, jawab Sofia sambil memeluk manja ibunya. Jam bentuk bulat berwarna kuning air di sebelah katil menunjukkan jam 7.30 pagi. “Lama juga aku tidur, ingatnya tadi mahu tidur-tidur ayam”. Sofia berkata dalam nada berbisik pada dirinya sendiri. “Sofia, jangan sambung tidur lagi yer, tak elok anak dara masih tidur sedangkan matahari sudah mula terbit”. “Baiklah, ibu. Sofia faham”. Sebelum berlalu keluar, Puan Haryati sengaja menarik langsir bilik anaknya itu supaya cahaya matahari dapat menerjah masuk ke situ. Setelah ibunya keluar, Sofia segera menarik tuala yang tersedia di sebelah meja belajarnya itu dan terus berlalu ke bilik air.  Kira-kira 15 minit, dia keluar daripada bilik air dan bersiap ala kadar. Semerbak wangi nasi lemak yang dimasak oleh ibunya daripada dapur menujah ke hidungnya. Dalam fikirannya, Sofia bercadang untuk mengajak Puan Haryati untuk menemaninya ke bandar untuk membeli segala kelengkapan dan barang keperluan seperti ubat gigi, sabun mandi, shampoo rambut dan barang keperluan yang lain yang bakal dibawanya ke asrama nanti. Sofia menyidai kembali tuala yang telah digunakan tadi yang sudah pun lembab ke tempat asalnya. Dia menyapukan sedikit minyak Johnson & Johnson ke rambutnya. Rambutnya yang panjang ke paras bahu itu sudah hitam berkilat dan bersikat rapi. Sedikit bedak powder disapukan kemukanya.Setelah memastikan katilnya kemas, Sofia terus keluar untuk mencari ibunya di dapur. Puan Haryati menatang dulang berisi air kopi ‘o’ dan diletakkan di atas meja makan. “Ibu, ada apa-apa yang boleh Sofia bantu?”, tanya Sofia untuk memulakan percakapannya. “Ibu rasa semuanya sudah siap, tetapi kalau Sofia ingin tolong ibu juga bolehlah.  Ambilkan timun dalam peti sejuk, dibuangkan kulitnya dan potong secara menyerong dan jangan terlalu tebal ye, Sofia”. “Baiklah, ibu”. Jawab Sofia pendek tanda akur dengan arahan ibunya. Setelah semua bahan-bahan nasi lemak seperti kacang goreng, telur rebus, timun dan ikan bilis goreng, sedia dihidangkan, Sofia dan ibunya terus menikmati nasi lemak di pagi hujung minggu tanpa ayah dan kakaknya. Kakak Sofia, Farahin sedang mengikuti kursus Pengajian Sarjana Muda Perubatan di tahun kedua di Universiti Malaya, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.  Berselera sekali Sofia menikmati sambal ikan bilis dan nasi lemak kegemarannya itu. Dia tahu tidak lama lagi dia akan ke asrama dan akan hanya akan pulang pada hari Jumaat minggu kedua setiap bulan. Itu pun sekiranya tidak ada sebarang program di asrama. Biasanya, ibu dan ayahnya akan datang ke asrama pada waktu petang hari Sabtu sekiranya Sofia tidak dapat pulang pada minggu tersebut.
“Ibu, bila agaknya ayah akan pulang?”, Sofia bertanya kepada Puan Haryati untuk mendapatkan kepastian. “Sebelum Sofia turun tadi, ayah ada telefon ibu. Kata ayah, mungkin ayah akan sampai petang nanti”. Jelas Puan Haryati. “Kenapa Sofia?”. Tanya Puan Haryati kembali sambil memerhatikan Sofia. “Ibu, hari ini Sofia fikir mahu ke bandar untuk membeli sedikit barang keperluan untuk digunakan di asrama nanti, kita pergi sama-sama boleh tak ibu?”. Sofia yang sudah selesai makan terus ke sinki dan membasuh pinggannya. Sedikit sisa makanannya seperti kepala ikan bilis dan hirisan bawang besar dimasukkan ke dalam bakul sampah yang telah sedia di tempatnya di bahagaian bawah sinki. Agak lama Sofia menanti jawapan ibunya, Sofia berdehem-dehem beberapa kali. Kelihatan Puan Haryati seperti sedang termenung panjang. “Ya, Sofia. Ibu pun bercadang untuk ke bandar tetapi sudah alang-alang Sofia mahu membeli barang  bolehlah kita pergi bersama-sama. Lagipun barang-barang untuk ibu menjahit sudah berkurangan”. Akhirnya Puan Haryati menyimpulkan segala persoalan di fikiran Sofia. Puan Haryati bangun dan pergi ke sinki untuk mencuci pinggan dan tangannya. Wap air kopi masih bersisa. Namun, Puan Haryati dan Sofia masih mampu meneguknya perlahan-lahan dan menikmati kesedapan air kopi cap Hang Tuah itu. Cuaca yang cerah hari itu seperti memberitahu bahawa Sang Suria akan bersinar untuk memberi cahaya kepada seluruh alam buana setelah dua hari berturut-turut tidak mempamerkan wajahnya. Alhamdulillah…. Syukur hanya layak untuk Dia Maha Pencipta.
Sofia meneliti senarai barang pada check list yang akan di belinya di bandar nanti. Sofia mengenakan sepasang baju kurung moden berwarna putih bercorak bunga-bunga kecil yang berwarna pink. Setelah menyapukan bedak compact powder ke mukanya, Sofia mengambil lips bum daripada beg sandang dan mencalitkan pelembab itu ke bibirnya. Sofia tidak mahu bibirnya kering. “Sofia, sudah siap ke?”, kedengaran suara Puan Haryati mula memanggil anaknya itu. “Kejap, ibu. Sofia dah siap ni”, balas Sofia dari dalam biliknya. Sengaja dibiarkan pintu biliknya terbuka supaya dia dapat mendengar suara ibunya. Dia sebenarnya tidak mahu dikatakan anak yang tidak mengendahkan kata-kata ibunya apabila ibunya itu memanggilnya.
Tidak sampai lima minit, Sofia sudah sedia di parkir kereta ibunya. Dia sengaja mengenakan tudung munawwarah seakan-akan tudung Ariani yang berwarna pink agar kelihatan sedondon dengan baju kurungnya itu. “Wah, cepatnya anak ibu. Tadi masa ibu panggil masih di bilik. Sekarang sudah ada di sini!”. Tegur Puan Haryati. “Tengoklah anak siapa!”, Sofia berseloroh mesra dengan ibunya. “Ibu, kenapa ada banyak bungkusan plastik di belakang ni?”, tanya Sofia kepada ibunya sambil jari telunjuknya menunding tempat duduk di bahagian belakang. “Sebenarnya, balik dari bandar nanti ibu mahu singgah di rumah Makcik Ramlah di Kampung Bendang Nyiur untuk menghantar baju-baju yang di tempah olehnya. Semuanya ada lima pasang. Dua pasang baju kurung biasa dan yang selebihnya baju kurung Riau atau orang panggil baju kurung ini, baju kurung pesak gantung”. Jelas Puan Haryati panjang lebar kepada anaknya. Dia tersenyum dan dalam hati dia bersyukur kerana dikurniakan dua orang cahayamata yang baik perilaku dan tidak pernah melawan kata-kata orang tua. Sofia memang tidak pernah meninggi suara dengan Puan Haryati dan Encik Razif. Begitu juga kakaknya, Farahin. Walaupun umur mereka berdua jarak lima tahun, namun hubungan baik kedua-duanya memang menyenangkan hati Puan Haryati. Kini, umur Farahin sudah mencecah dua puluh satu tahun dan hari lahirnya baru di sambut pada lima belas            Disember yang lalu, sebelum Farahin berangkat pulang ke kampusnya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Umur Sofia pula akan mencecah enam belas tahun pada dua puluh lima Januari nanti.
Dalam perjalanan yang mengambil masa lebih kurang tiga puluh minit dirasakan sekejap sahaja oleh Sofia. Ini kerana banyak perkara yang dibincangkan bersama ibunya, Puan Haryati sepanjang perjalanan tiga puluh lima kilometer itu. Ibu dan kakaknya adalah kawan tempat dia mencurahkan segala cerita dan rasa hatinya. Bapanya, Encik Razif pula adalah penasihat terbaik di kala Sofia terpaksa membuat sesuatu pilihan. Selain daripada ahli keluarga sendiri, Sofia juga selalu berkongsi ceritanya bersama tiga sahabat baiknya yang sama-sama akan tinggal di asrama di tingkatan empat nanti. Mereka juga agak dikenali di sekolah kerana pencapaian yang cemerlang dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Sofia tersenyum sendiri mengenangkan kawan-kawan karibnya itu. Terbayang di ruangan matanya wajah Nadia, Sabrina, Mumtaz dan Iman. Setiap mereka mempunyai ciri-ciri yang baik dan Sofia rasa begitu selesa bersama kumpulan tersebut dan mereka juga menggelarkan kumpulan ini dengan gelaran Generasi Hebat. Tidak sabar rasanya untuk berjumpa kalian lagi.
“Ramai orang ya ibu!” kata Sofia kepada ibunya tatkala ibunya itu mula meletakkan gear dalam keadaan yang free. Nasib baik, mereka masih mendapat ruang parkir di sekitar Syarikat Perniagaan Mesra yang berhadapan dengan Pasar Besar Tanah Merah. Jam di dashboard kereta menunjukkan tepat jam 9.30 pagi. Setelah membayar parkir, Sofia terus menuju beriringan dengan ibunya ke dalam pasar. Pasar Besar Tanah Merah yang mempunyai tiga tingkat itu menyediakan keperluan seperti bahan mentah termasuklah lauk basah, sayur-sayuran, buah-buahan dan bahan kering seperti rempah, kunyit, garam, beras dan barangan-barangan berasaskan plastik di bahagian tingkat satu bangunan pasar tersebut. Manakala tingkat dua pula menyediakan dua bahagian utama iaitu bahagian kasut bersama pakaian dan bahagian makanan. Di bahagian makanan ini menarik ramai pengunjung kerana menyediakan pelbagai makanan negeri Kelantan seperti nasi dagang, nasi kerabu, nasi berlauk, mee celup, kuih puteri mandi dan lain-lain lagi makanan yang akan memukau pengunjungnya. Tingkat ketiga pula menyediakan segala keperluan seperti bahan-bahan yang digunakan untuk menjahit seperti benang, jarum, manik, renda, pelbagai jenis kain lace dan lain-lain lagi. Bagi Sofia dia paling suka untuk mengikuti Puan Haryati untuk ke tingkat tiga ini adalah kerana di sini terdapat juga hiasan untuk pengantin seperti bunga telur dan alatan-alatan  untuk tujuan walimatulurus. Sofia juga suka melihat pelbagai warna bunga telur yang cantik terpamer di setiap deretan kedai di tingkat tiga itu.
**         **         **         **         **         **         **
Hujan renyai-renyai mulai turun sebaik sahaja Puan Haryati dan Sofia meloloskan diri ke dalam kereta. Puan Haryati terus menekan pedal minyak untuk kembali semula ke rumah. Dia berdehem beberapa kali. Cuba menarik perhatian anaknya untuk memulakan perbualan. “Sofia, barang-barang semua sudah beli ke?” Tanya Puan Haryati kepada Sofia. Dia tahu anaknya yang seorang ini cukup manja dan mungkin melamun jauh berfikir untuk kembali ke asrama beberapa hari lagi. “Sudah, ibu. Rasanya dah mencukupi”. “Ibu, jangan lupa singgah di rumah makcik Ramlah nanti”. Sofia mengingatkan ibunya supaya tidak terlupa untuk menghantar baju-baju yang ditempah oleh Makcik Ramlah.
Puan Haryati dan Sofia sampai di rumah kira-kira jam dua petang. Sofia mengambil beberapa pucuk surat di peti surat sebelum masuk ke rumah. Tut! Tut! Tut! Kedengaran telefon bimbit Sofia berbunyi. Sofia mengagak kakaknya yang menelefonnya. Sangkaannya meleset sama sekali kerana panggilan itu adalah daripada ayahnya. “Assalamualaikum”, sapa suara serak-serak basah ayahnya di talian. “Waaalaikumusalam, ayah. Ayah di mana sekarang ni, sudah pulang ke rumah ke, bila ayah mahu pulang”? Tanya Sofia bertalu-talu tanpa mengizinkan ayahnya untuk mencelah ataupun untuk menjawab setiap soalannya. “Ayah sudah sampai di simpang depan ni, tunggu ya”. Encik Razif tahu anak perempuannya yang seorang ini sudah tidak sabar menunggu kepulangannya. Usai bercakap dengan Encik Razif, Sofia mengelap skrin telefon bimbitnya itu sebelum memasukkan telefon tersebut ke dalam uncangnya. Dia begitu sayang akan telefon bimbit itu kerana itu pertama kali dia memilikinya dan ia merupakan hadiah daripada sekolahnya di atas hasil usaha Sofia mendapat johan pembaca buku terbanyak di sekolah. Program tersebut merupakan salah satu program utama galakan membaca dilaksanakan Kementerian Pelajaran yang dikenali sebagai Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) yang diperkenalkan pada 1999. Pelaksanaan Program Nilam ini dimulakan hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca di peringkat Kementerian Pelajaran pada 1998. Program ini dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan bagi sekolah menengah di mana rekod pembacaan pelajar diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan. Program ini dibahagikan kepada dua tahap, iaitu Tahap Jauhari dan Tahap Rakan Pembaca. Tahap Jauhari ialah tahap di mana kita menggalakkan pelajar membaca sebanyak mungkin buku diminati dan kemudian dicatat dalam Buku Rekod Nilam. Pada tahap kedua, iaitu Tahap Rakan Pembaca, pelajar yang banyak membaca digalakkan mengajak atau menggalakkan rakan mereka pula untuk membaca bersama dan berdiskusi mengenai sesebuah buku. Secara tidak langsung, lebih ramai pelajar akan terbabit dalam program ini. Sofia memang layak untuk mendapat penghargaan ini kerana hobinya yang suka membaca itu. Memang berbaloi usahanya itu. Bagi Sofia tidak ada sebarang modal yang perlu dikeluarkan bagi memenuhi aktiviti membacanya itu. Setiap hari dia akan ke Pusat Sumber Sekolah untuk meminjam apa sahaja jenis buku sama ada buku berbentuk fiksyen, ilmiah mahupun novel. Antara tokoh Sasterawan Negara yang diminati oleh Sofia ialah Datuk Usman B. Awang. Walaupun beliau telah kembali ke rahmatullah pada 29 November 2001, karyanya hingga ke hari ini masih di ingati malah masih menjadi rujukan generasi masa kini. Bak kata pepatah Melayu, “harimau mati meninggal belang, manusia mati meninggalkan nama.” Biarpun hampir sedekad beliau tiada, namun dari lembaran karya-karya agung yang dinukilkan, kehadirannya tetap dirasai. Semasa hayatnya, beliau terkenal sebagai seorang penyair hebat dan ahli drama yang prolifik. Tongkat Warrant, Adi Jaya, Atma Jiwa, Setiabudi adalah antara nama pena Datuk Usman Awang yang termasyhur. Salah satu daripada karya Datuk Usman Awang yang menjadi koleksi Sofia ialah Ke Makam Bonda.
Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan

Lamunan Sofia terhenti tatkala terdengar hon kereta bapanya, Encik Razif. Dia tersenyum sendiri….

**         **         **         **         **         **         **
Lega rasanya Sofia apabila dia tahu malam ini dia dan ibunya sudah punya teman untuk berbicara. Usai solat Maghrib berjemaah, mereka sekeluarga akan menikmati makan malam bersama-sama. Ketika inilah semua persoalan yang timbul, akan terungkai dan di selang-seli dengan gelak ketawa andai ada perkara yang melucukan dibincangkan. “Yati, lepas Isyak nanti awak bersiap ya. Kita akan ke rumah abang Ngah”. Pinta Encik Razif kepada Puan Haryati. “Sebenarnya, sebelum saya sampai ke rumah petang tadi abang Ngah ada menelefon saya. Dia meminta kita ke rumahnya kerana ada hal penting yang mahu dibincangkan, Sofia tinggal di rumah ya.”, sambung Encik Razif lagi kepada Puan Haryati dan menoleh sekilas kepada Sofia. Sofia seperti mengharapkan agar ayahnya berceritakan hal selanjutnya. Namun, Encik Razif hanya ‘mematikan’ ayatnya sampai di situ sahaja. Untuk bertanya, Sofia memang tidak sekali-kali berani, takut dikatakan dia anaknya suka mencampuri urusan orang dewasa. Tetapi jauh di sudut hatinya, Sofia akan merisik hal ini.
**         **         **         **         **         **         **
Sepermergian ayah dan ibunya, Sofia hanya menghabiskan masa di biliknya sahaja. Sofia buntu dan rasa mati akal bila keseorangan begitu. Jam menunjukkan tepat pukul 9.15 malam. Lalu, Sofia mencapai beg hitam kecil di atas meja tulis sebelah katilnya. Dia mula menekan butang power on untuk membuka komputer riba berjenama Acer 14 inci yang di hadiah oleh ibu dan ayahnya kerana mendapat 6A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sebenarnya dia tidak meminta hadiah yang sebegitu mahal daripada mereka. Pada masa yang sama, Sofia malu kerana dia gagal mencapai semua A dalam semua matapelajaran. Namun, ayahnya tingkatan empat dan dia tahu harapan ibu bapanya tinggi untuk melihat dia berjaya dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) seperti kakaknya, Farahin. Insyaallah….ayah dan ibu. Sofia akan capai segala impian Sofia. Tut…tut…..tut…. Tiba-tiba isyarat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbitnya. “Hi…Sofia. Buat apa tu?”…. Dia terkejut kerana nombor pengirim SMS tersebut tidak dikenali olehnya. Sofia malas untuk membalas SMS tersebut kerana dia sangsi mungkin rakan-rakan baiknya cuba untuk mengenakannya. Kebiasaannya, Sofia lebih suka melayari beberapa blog pendidikan untuk membaca nota-nota berkaitan matapelajaran yang diambilnya di sekolah. Disamping itu, dia mengambil peluang tersebut untuk membuat soalan latih tubi daripada penulis blog yang terdiri daripada guru-guru yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan. Usai membaca e-mail dan membaca maklumat penting daripada blog dan beberapa laman sesawang, Sofia menutup komputer riba kesayangannya itu. Dia melirik sekilas ke arah buku catatan hariannya. Jam di katil menunjukkan jam 11 malam.  Sofia tersenyum puas tatkala selesai menulis baris-baris terakhir catatan pada hari itu. Sebelum melelapkan mata, Sofia menyimpan nombor pengirim SMS tersebut dengan nama Anto. Anto adalah untuk hantu….Sofia tersenyum sendiri.

**         **         **         **         **         **         **