Bab 4: Hari pertama di 4 Melur
Selepas melewati tiga puluh minit perhimpunan, semua pelajar bergerak menuju ke kelas masing-masing dalam barisan yang di kawal oleh pengawas yang bertugas. Aifa dan Hanim berbual-bual sambil melihat kumpulan pengawas yang sedang bertugas. Sesekali mereka berdua tergelak kecil. Mereka berdua gelagat mereka diperhatikan oleh Mumtaz dan Sabrina. Aifa dan Hanim ditempat di kelas yang sama iaitu di kelas empat Kenanga.
Ketika melewati kelas empat Seroja, Mumtaz dan Sabrina sempat mengerling pelajar yang sedang ralit berbual-bual sesama mereka. Mungkin juga mereka tidak sedar bahawa keadaan mereka begitu bingit sekali. Mumtaz melihat jam di tangannya yang menunjukkan pukul lapan sepuluh minit pagi. Masih awal lagi dan waktu ini merupakan waktu kedua. Kelihatan guru-guru mula memasuki kelas. Hari ini merupakan hari pertama pelajar-pelajar tingkatan empat akan memulakan kelas mengikut aliran yang telah ditetapkan. Apabila telah masuk ke kelas empat Melur, Sabrina dan Mumtaz rasa begitu gembira. Rupa-rupanya Iman dan Sofia sudah pun masuk ke kelas lebih awal daripada mereka berdua. Hari itu pelajar kelas empat Melur cuma ada tiga puluh lima orang dan jumlah ini mungkin akan berubah mengikut keadaan memandangkan kebarangkalian masih ada lagi pelajar baru yang akan masuk ke kelas ini.
Sabrina dan Mumtaz memilih untuk mengambil kedudukan di belakang Noramira dan Khairiah. Manakala kedudukan Sofia dan Iman pula di belakang Sabrina dan Mumtaz. “Assalamualaikum dan selamat pagi kelas,” jelas kedengaran ucapan salam daripada seorang guru perempuan di muka pintu kelas tingkatan empat Melur. Keadaan kelas yang agak kebisingan tadi terdiam seketika. Pelajar menjawab salam cikgu tadi beramai-ramai. Sebenarnya mereka tidak pernah melihat cikgu tersebut di sekolah mereka sebelum ini. “Selamat memulakan sesi persekolahan 2007 dan cikgu ingin memperkenalkan diri cikgu dahulu sebelum kamu memperkenalkan diri masing-masing”, cikgu Insyirah memulakan bicaranya di hari pertama, di sekolah pertamanya di mana sekolah yang mula-mula dia ditempatkan setelah tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Mata pelajaran opsyen cikgu Insyirah ialah Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Nama cikgu ialah Nurul Insyirah Bt. Muhammad Khalid dan cikgu berasal daripada Pulau Pinang”, beritahu cikgu Insyirah ringkas mengenai dirinya. Selepas itu pelajar-pelajar memperkenalkan diri masing-masing. Cikgu Insyirah juga meminta kelas untuk melantik ketua dan penolong ketua tingkatan. Pelajar-pelajar telah sepakat melantik Goh Wen Lee sebagai ketua tingkatan dan Farisya dilantik sebagai penolong ketua kelas empat Melur. Bagi jawatan-jawatan lain seperti setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa keceriaan dan kebersihan akan dipilih sendiri oleh cikgu Insyirah dalam masa yang akan diumumkan tidak lama lagi. Pada perjumpaan pertama dengan pelajar-pelajar kelasnya, cikgu Insyirah juga meminta mereka supaya mengembalikan kedua-dua borang maklumat dan data diri pelajar melalui Goh Wen Lee atau Farisya selaku ketua dan penolong ketua kelas empat Melur. Sebelum masa cikgu Insyirah berakhir pada pagi itu, dia memberitahu pelajar-pelajarnya supaya menyediakan buku nota untuk mata pelajaran Sejarah yang akan diajar olehnya untuk kelas empat Melur. Sebelum keluar daripada kelas, cikgu Insyirah juga sempat berpesan supaya Goh Wen Lee menyenaraikan nama-nama pelajar empat Melur supaya memudahkan proses pendaftaran dalam buku daftar kelas dan buku rekod guru kelas. Nama pelajar untuk setiap kelas juga penting untuk setiap guru mata pelajaran bagi semakan dan kemasukkan markah ujian penilaian dan peperiksaan penggal.
Sekejap sahaja dirasakan masa berlalu. Waktu rehat bermula kira-kira jam sembilan lima puluh lima minit pagi. Waktu rehat digunakan oleh para pelajar tingkatan empat untuk mengenali rakan-rakan baru masuk kelas masing-masing.
“Hai Sofia, boleh saya join awak ke kantin?”, tanya Alia kepada Sofia sebaik sahaja dia siap mengemaskan kotak pensel dan buku notanya. “Boleh, apa salahnya Alia. Kami pun hendak ke kantin ni”, jawab Sofia sambil tersenyum kepada Alia. Pada tahun lalu, Alia baru sahaja berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Aman Jaya. Dia telah mengikuti ayahnya berpindah dari Kuantan. Ayah Alia merupakan seorang anggota Tentera Malaysia yang berpengkalan di Kem Batalion 301, Batu Sebelas dan ibunya pula ialah seorang jururawat di Hospital Besar Tanah Merah. Alia tinggal di Taman Sri Kenanga, tidak jauh dari Bandar Tanah Merah. Hanya kira-kira lima kilometer jarak dari rumahnya ke sekolah. Mereka berdua berjalan beriringan bersama-sama dengan Mumtaz, Iman dan Sabrina.
Sewaktu menuruni tangga bersebelahan bilik guru, Sofia terpandang ke arah pelajar tingkatan lima yang sedang berkumpul di hadapan pusat sumber sekolah. Salah seorang daripada kumpulan pelajar tersebut ialah Ahmad Edzani. Aizzat Emir, Syamil Mukhriz, Amar Zakuan turut kelihatan. Mungkin mereka menghadiri taklimat yang dipengerusikan oleh cikgu Hasnol salah seorang guru mata pelajaran Matematik untuk pelajar tingkatan lima. Sofia hanya menunduk pandangannya dan sesekali terdengar Iman mengusik Sabrina dengan niat agar Sabrina dapat menjadi pasangan kepada penjaga gol bola sepak sekolah mereka, siapa lagi kalau bukan jejaka berambut lurus dan berkening lebat itu, Syamil Mukhriz.
Sampai sahaja di kantin sekolah, Mumtaz meminta nasi goreng untuk dirinya dan Iman manakala Sofia dan Sabrina membeli dua set sandwich dan Alia membeli sebungkus nasi lemak. Masing-masing memesan air sirap untuk menghilangkan dahaga. Kemudian mereka bergerak ke meja yang masih kosong berdekatan dengan pokok mangga di hujung kawasan kantin sekolah. Sesekali ada juga angin bertiup sejuk dengan lambaian daun-daun pokok di sekeliling padang sekolah bergerak-gerak mengikut alunan angin yang bertiup.
Nampaknya Alia juga tidak kekok apabila berbicara dengan kumpulan Generasi Hebat ini. Walaupun dia tidak tinggal di asrama bersama-sama ahli kumpulan itu, dia nampak betah dan mudah masuk gang. “Bagaimana Alia, awak suka sekolah ini ke?”, tanya Iman kepada Alia sambil mengunyah perlahan-lahan nasi goreng yang sedang dimakannya itu. “Saya rasa gembira datang ke sekolah ini, dapat kawan-kawan baru dan guru-gurunya peramah sekali”, jawab Alia. “Sofia, boleh tak kalau saya ingin join kumpulan awak ini untuk kumpulan belajar nanti?”, tanya Alia pula kepada Sofia. Sofia mengangguk. “Boleh apa salahnya, kami mungkin akan buat belajar berkumpulan mengikut jadual bergantung kepada aktiviti persekolahan kita. Awak boleh join kami nanti, jangan risau ya”, kata Sofia sambil tersenyum dan menepuk-nepuk bahu Alia.
Jam sepuluh setengah pagi kelas bermula semula. Guru belum sampai ke kelas. Sofia dan kawan-kawannya mula membuat bulatan. Mumtaz dan Sabrina berpusing ke belakang menghadap Sofia dan Iman. Amylia dan Athirah juga kelihatan rancak berbual-bual. Hazeem dan Asyraf juga kelihatan berbual-bual di meja mereka berhadapan pintu hadapan kelas empat Melur. Goh Wen Lee dan Farisya juga berbual sepertinya berbincang sesuatu mengenai kelas mereka. Sesekali Farisya menulis sesuatu pada kertas.
“Cikgu datang”, tiba-tiba jerit Hazeem apabila dia ternampak cikgu Sabariah menghala ke kelas empat Melur. Betullah cikgu Sabariah masuk ke kelas empat Melur. Rupa-rupanya cikgu Sabariah ingin mengumumkan bahawa rayuan untuk pelajar-pelajar menukar aliran masih dibuka sehingga hari Khamis ini. Tidak lama kemudian cikgu Penolong Kanan Kokurikulum sekolah pula yang masuk ke kelas. Puan Angelina Tan masuk ke kelas untuk memaklumkan bahawa esok dan lusa akan diadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kokurikulum sekolah. Esok akan merupakan perjumpaan untuk kelab dan persatuan manakala lusa akan diadakan perjumpaan untuk sukan dan permainan. Tidak sampai lima minit Puan Angelina Tan beredar dari kelas empat Melur dan masuk ke kelas empat Seroja pula.
Petang itu di asrama, pelajar-pelajar mula mengikut kelas pengajian Al-Quran bersama dengan Ustazah Saodah, seorang tenaga pengajar luar yang memantau dan memberi pendidikan pengajian Al- Quran di asrama. Di asrama putera pula, seorang ustaz bertanggungjawab memantau jadual pengajian Al-Quran mereka. “Iman, nanti kita turun sama-sama ya untuk ke kelas Al-Quran sekejap lagi”, beritahu Sofia kepada Iman setelah dia selesai solat Zohor. Usai melipat kain telekung sembahyangnya dan meletaknnya didalam loker, Sofia ke katil Iman sementara menunggu Iman menyarungkan tudung ke kepalanya. Nampaknya, ramai juga pelajar-pelajar lain yang sudah ke bilik pengajian Al-Quran. Begitu juga dengan Sabrina dan Mumtaz. Semasa dekat bilik air tadi Sofia ternampak Mumtaz selesai mencuci pakaian sekolahnya. Manakala Sabrina sudah turun untuk pengajian Al-Quran tadi. Dari katil Iman, Sofia terdengar ada orang memanggil namanya. “Ya, Aifa. Awak sakit ke?”, sahut Sofia seraya dia bertanyakan keadaan dorm matenya itu. “Saya period, rasa sakit sangat perut ni”, jawab Aifa sambil memegang perutnya. Kelihatan mukanya merah dan berpeluh-peluh menahan sakit perut senggugut dek kerana datang bulan. Sofia melabuhkan punggungnya di katil Aifa. Dia mengosok tangan Aifa perlahan untuk melegakan sedikit rasa sakit Aifa walaupun dia tahu cara itu mungkin tidak berkesan. “Sekejap ya Aifa, saya rasa ada bawa panadol menstrual. Saya periksa dahulu dalam loker”, kata Iman pula kepada Aifa sambil berdoa dalam hatinya yang ubat itu benar-benar ada dalam simpanannya. Timbul pula rasa kasihan Iman dan Sofia kepada Aifa.
Tidak lama kemudian, Iman datang semula kepada Aifa yang masih mengerang kesakitan dan menghulurkan panadol yang berwarna ungu itu kepada Aifa. Air mineral juga diberikan kepada Aifa supaya dia boleh meminumnya nanti setelah makan ubat. Sofia juga membantu Aifa untuk bangun untuk makan ubat. “Aifa, awak tidur dulu ya selepas makan ubat ini. Saya akan tandakan nama awak tidak hadir dalam borang dengan ustazah Saodah nanti. Jangan risau ya, rehat dulu”, kata Sofia sejurus Aifa selesai makan ubat dan meminum air yang dibawa oleh Iman tadi.
Tiba di bilik pengajian Al-Quran, Iman menoleh kepada beberapa orang penghuni asrama lain yang tekun membaca Al-Quran. Dua orang pelajar akan datang ke pergi hadapan ustazah Saodah untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran mereka. Ustazah Saodah akan membetulkan setiap bacaan pelajar ini dari segi bacaan dan hukum tajwid. Selesai sahaja membaca Al-Quran, Sofia terus menandakan kehadirannya dan menulis ‘D’ untuk Aifa dalam borang di sebelah ustazah Saodah. Sebenarnya ‘D’ itu bermaksud datang bulan. Setelah selesai semuanya, Sofia terus berlalu untuk naik ke bilik bacaan di tingkat empat.
Sudah mengikut peraturan asrama, setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis pelajar-pelajar akan diwajibkan mengikut kelas pengajian Al-Quran. Pada pukul dua petang pula bermula waktu untuk pelajar-pelajar asrama untuk menelaah pelajaran. Waktu ini juga dipanggil sebagai waktu ‘prep’, ataupun waktu belajar. Walaupun jadual kelas belum diperolehi, semua pelajar sudah maklum semua mata pelajaran yang akan di ambil pada sessi persekolahan 2007 ini. Sofia menulis sesuatu pada buku catatan hariannya. Kemudian dia memasukkan semula pen Pilot 0.7 berwarna hitam ke dalam kotak pensilnya. Dia menoleh kepada beberapa pelajar lain yang ada di situ dan pandangannya kembali kepada Mumtaz yang begitu asyik dengan novel kegemarannya itu. Tajuk novel itu amat menarik perhatian Sofia. Novel itu katanya diberikan oleh ibunya sewaktu cuti persekolahan pada Disember yang lalu. Penulis novel itu sangat diminati oleh Mumtaz, iaitu Ain Maisarah. Iman dan Sabrina pula leka membaca Majalah Dewan Pelajar yang dibeli oleh Sabrina minggu lalu.
Tepat jam empat setengah petang bermula minum petang. Sofia memanggil nama Mumtaz perlahan. Apabila Mumtaz memandangnya, Sofia menaikkan ibu jarinya ke mulut tanda ingin pergi minum petang. Mumtaz pun menutup novel berwarna merah jambu itu dan melihat tanda pada mukasurat terakhir yang dibacanya itu. Sofia sekilas memandang tajuk novel itu, Aku Mahu Saiz S. Dia berharap satu hari dia dapat meminjam novel itu daripada Mumtaz. Tanpa menunggu lama, Sabrina dan Iman turut membontoti mereka untuk turun ke dewan makan asrama. Nampaknya kuih kegemaran Sofia, kuih lepat pisang tersedia sebagai juadah minum petang pada hari itu. Mereka minum sambil berbual-bual. Sesekali, Sofia teringat juga kepada Aifa yang sakit tadi.
** ** ** ** ** ** **
No comments:
Post a Comment