For Things To Change, We've To Change!

24 March 2012

Novel: Cinta Budak Hostel (Chapter 3)


Bab 3: Januari…Bermulanya kisah

Ring……. Kedengaran jam loceng menunjukkan jam 5.30 pagi. Beberapa orang pelajar mula bangun dan menuju ke bilik air. Seawal jam 5 pagi sudah ada pelajar yang bangun. Ini kerana terpaksa mandi dan bersiap-siap awal untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di surau sekolah. Usai solat Subuh pelajar-pelajar akan mendengar tazkirah daripada Ustaz Hassan yang merupakan salah seorang warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Aman Jaya. Biasanya tajuk tazkirah berkisar kepada tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapa, kepada guru, tanggungjawab sebagai pelajar, perkara-perkara fardu ain, hubungan manusia sesama manusia serta alam sekitar dan juga tidak ketinggalan tazkirah ini akan mengutarakan perkara-perkara fardhu kifayah dan melibatkan soal ibadat seorang Islam. 
Mumtaz bangun dan mengejutkan Sabrina dan Iman di sebelah katilnya. Sofia kelihatan masih malas untuk bangun tetapi digagahi juga bangun dan mencapai tuala mandi dihujung katilnya. Mereka mencapai baldi dan alatan mandi yang berada di bawah katil dan segera menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Sebelum itu Iman juga telah mengejutkan pelajar tingkatan satu yang merupakan junior pada sesi persekolahan tahun ini. Mereka masih perlu dikejutkan dan dalam proses untuk belajar bangun sendiri dan mereka juga belajar untuk berdikari tanpa bantuan orang lain. Pendek kata, perkataan berdikari  ini juga sering disama ertikan dengan berdiri di atas kaki sendiri. Setelah siap membersihkan diri pelajar bersiap-siap memakai telekung sembahyang menuju ke surau sekolah. Kelihatan beberapa orang pelajar lelaki turut menyertai kumpulan jemaah perempuan menuju ke surau. 
Jam tujuh pagi kelihatan sudah ramai pelajar menuju ke dewan makan untuk mengambil sarapan pagi. Iman dan Sabrina sudah tidak sabar-sabar lagi untuk ke sekolah. Rindu mereka kepada sekolah rasanya sudah tidak tertahan-tahan lagi. Lebih-lebih lagi rindu kepada rakan-rakan taulan dan guru-guru yang banyak memberi tunjuk ajar kepada mereka. Pagi itu menu sarapan pagi adalah nasi lemak dan teh ‘o’. Mereka juga boleh mengambil sendiri air masak suam atau air mati yang disediakan oleh pihak kantin asrama. “ Ramai juga pelajar tingkatan satu yang baru masuk,” kata Sabrina memulakan perbualan mereka. “Yalah Rin, kebanyakkan mereka ini memilih untuk tinggal di asrama. Mungkin juga kerana mereka tinggal agak jauh dari sekolah yang menyebabkan mereka rasa akan lebih selesa tinggal di asrama.” Balas Mumtaz sebagai tanda bersetuju dengan pendapat Sabrina. Sofia dan Iman hanya mengangguk-anggukkan kepala mereka sekali sekala. Sofia senang sekali membiarkan kawan-kawannya bercakap-cakap dan dia sendiri cuba menghabiskan sisa-sisa suapan terakhir nasi lemak mak cik kantin. Setahu mereka makcik kantin itu bernama Makcik Hamidah dan dia dibantu oleh anak lelakinya yang bernama Jamal dan anak perempuannya yang bernama Nabila.
Tiba-tiba terbayang wajah ibunya di rumah. Mesti ibunya sunyi dengan ketiadaan dia waktu ini. “ Aik cik Sofia, termenung jauh nampak”, tegur Iman sambil tersengih-sengih. Sofia tersenyum…” Semua dah makan ke? Sekarang sudah pukul 7.10 pagi”, ujar Mumtaz setelah dia sudah menghabiskan nasi lemaknya. Mereka berjalan beriringan melalui meja makan Aifa dan kawan-kawannya. Aifa juga merupakan pelajar tingkatan empat pada sesi 2007  ini. Mereka terdiri daripada empat orang pelajar iaitu Hanim, Nurul dan Fatihah dan Aifa sendiri dilantik sebagai ketua kumpulan mereka. Sofia dan kumpulan Generasi Hebat kurang menyenangi Aifa dan kawan-kawanya yang lain kerana mereka suka menonjolkan diri dan cuba menarik perhatian pelajar-pelajar lain melalui cara berpakaian dan cara mereka bercakap di khalayak ramai. Walaupun kurang menyerlah dalam pelajaran, tetapi berbekalkan paras rupa yang agak cantik kumpulan Aifa tetap merasa bangga dengan kurniaan Allah itu. Bagi Sofia, perkara yang paling utama ialah mendapat kecermerlangan dalam setiap matapelajaran dan aktiviti kokurikulum dan sentiasa menghormati dan patuh guru-guru dan menjaga hubungan baik dengan rakan- rakan. Kadang-kala Sofia pun hairan kenapa Aifa tidak mahu menegur dia dan kawan-kawanya yang lain. Kalau nak dibandingkan dari segi paras rupa, Aifa lebih cantik. Mukanya seiras pelakon Diana Danielle. Kulit cerah dan matanya bersinar-sinar. Bibirnya juga cantik, merah merekah bak buah delima. “Ah! Pedulikanlah apa sahaja alasannya, yang penting aku tidak mengganggu hidup mereka”, fikir Sofia sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Jam berwarna hitam jenama Q & Q di tangan menujukkan tujuh dua puluh lima minit pagi. Sabrina menjeling sekilas kearah jam tangannya manakala Iman mundar-mandir sementara menunggu pengumuman daripada pengawas bertugas untuk memulakan perhimpunan pagi itu. Sofia dan Mumtaz masih duduk di kerusi di hadapan perpustakaan sekolah sementara menantikan perhimpunan bermula. Mereka berdua lebih suka melihat gelagat pelajar-pelajar yang gamat dan agak riuh pada hari pertama persekolahan. Memang satu perasaan yang indah dengan suasana pelajar yang sedang bergelak ketawa, bergurau senda sesama mereka. “Mumtaz, alhamdulillah sangat ya sebab kita masih dapat bersama-sama lagi tahun ini”, Sofia memulakan bicara. Dia tahu Mumtaz pun mempunyai perasaan sepertinya. “Yalah, Pia. Saya rasa sudah tidak sabar lagi untuk memulakan  kelas pertama kita”, balas Mumtaz sambil tersenyum kepada Sofia. Pia adalah nama pendek yang digunakan oleh kawan-kawan rapatnya untuk Sofia.
“Assalamualaikum dan selamat pagi kepada semua pelajar, sila betulkan barisan anda mengikut tingkatan dan berhenti bercakap”, pengawas memberi arahan untuk memulakan perhimpunan pada pagi itu. Kelihatan guru-guru juga telah memenuhi kerusi-kerusi yang telah dikhaskan untuk mereka. Setelah lagu Negaraku dinyanyikan, pengawas bertugas telah mempersilakan Tuan Pengetua, Tuan Haji Taib B. Sulaiman. Orangnya walaupun sudah berumur tetapi masih segak, bergaya dan kelihatan begitu berkarisma sekali. Lebih-lebih lagi setiap kali dia berucap dan berkata-kata, pasti setiap mata terpegun dek kerana patah-patah perkataan yang dituturnya begitu bernas dan jelas sekali. He must be good speaker!
“Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pelajar dan guru-guru yang dikasihi sekalian”, Tuan Pengetua memulakan ucapannya dengan begitu bersemangat sekali. Mungkin beliau juga merindui pelajar-pelajar yang sudah lama tidak ditemuinya. Sekali-sekala beliau tersenyum dan menyambung kembali ucapannya. “ Saya berasa bersyukur kerana Tuhan masih memanjangkan umur kita semua untuk bertemu pada perhimpunan pagi ini. Saya berharap tahun baru 2007 akan memberi anda penuh semangat dan keazaman untuk mencapai 1001 kejayaan dalam apa juga bidang yang anda ceburi sama ada bidang akademik mahupun kokurikulum.   Saya berharap kerjasama pelajar-pelajar dan guru-guru khasnya akan memberi lebih banyak lagi kejayaan untuk  sekolah kita”. Semua pelajar memberikan tepukan gemuruh untuk Tuan Pengetua setelah dia selesai memberikan ucapannya.
Sebelum perhimpunan bersurai, pelajar-pelajar menyanyikan lagu sekolah dan pengawas bertugas juga membuat beberapa pengumuman penting. Dua orang guru yang bertugas pada minggu pertama persekolahan pada minggu itu ialah Encik Ramli B. Othman dan Puan Siti Nah Bt. Yusof.  Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) iaitu Puan Adilah Bt Najimudin juga meminta dan mengarahkan pelajar-pelajar tingkatan empat supaya berkumpul di Dewan Sri Budiman untuk taklimat pelajar tingkatan empat. Ianya berkaitan penempatan pelajar tingkatan empat untuk aliran yang bersesuaian dengan keputusan yang diperolehi oleh mereka. Mereka layak untuk memasuki sesebuah kelas berdasarkan keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diperolehi oleh mereka. 
Selepas Puan Adilah selesai membuat pengumuman, semua pelajar diminta untuk masuk ke kelas masing-masing mengikut barisan yang telah ditetapkan dengan pengawasan oleh pengawas-pengawas yang bertugas.
Di dalam Dewan Sri Budiman, keadaan hinggar-binggar bertukar menjadi sunyi sepi dengan kehadiran Puan Adilah dan juga dua orang guru daripada Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah, iaitu Puan Noraini Bt. Maulana dan Cik Sabariah Bt. Ibrahim. Mereka berdua adalah orang penting yang akan bertanggungjawab bagi penempatan pelajar tingkatan empat mengikut aliran yang bersesuaian dengan mereka.
Pada pertemuan pertama itu, Puan Adilah telah mengingatkan agar setiap pelajar supaya sentiasa kelihatan kemas dan mematuhi peraturan sekolah seperti sentiasa berambut pendek, memakai tanda nama sekolah, tidak merokok, tidak ponteng kelas sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlangsung dan sentiasa menjaga nama baik sekolah sama ada berada di dalam ataupun di luar waktu persekolahan. Pelajar perempuan juga mesti memakai tudung ataupun uniform sekolah mengikut peraturan yang telah ditetapkan seperti tudung atau pinafore yang tidak terlalu singkat dan sebagainya.
Puan Noraini dan Cik Sabariah mula  mengagih-agihkan dua borang untuk setiap pelajar. “Iman, kita perlu isikan borang ini sekarang ke?, tanya Mumtaz kepada Iman setelah borang tersebut sampai ke tangannya. “Entahlah Mumtaz, saya rasa baik kita dengar dulu arahan daripada Cikgu Noraini dan Cikgu Sabariah, ok tak?” balas Iman kepada Iman sambil menaikkan satu ibu jari kanannya. Mumtaz hanya menganguk-gangukkan kepalanya tanda bersetuju dengan idea Iman. Sofia dan Sabrina hanya memerhatikan sahaja gelagat mereka berdua yang duduk selang dua orang pelajar lain di hadapan mereka. Setelah hampir empat puluh minit berlalu, barulah selesai taklimat tersebut dan pelajar dibenarkan oleh guru-guru yang mengawasi mereka sepanjang program hari itu untuk keluar dari dewan untuk waktu rehat mereka.Tetapi semua pelajar perlu kembali semula ke Dewan Sri Budiman pada jam sepuluh setengah pagi untuk taklimat yang seterusnya.
Sofia melihat jam Q&Q ditangan kanannya. Jam waktu itu menunjukkan tepat pukul sepuluh pagi. Dalam sekelip mata sahaja pelajar tingkatan empat seramai tiga ratus lima puluh orang itu telah mengosongkan Dewan Sri Budiman dan beredar ke kantin. Sofia jalan beriringan bersama Sabrina, Mumtaz dan Iman untuk menyertai mereka. Dari jauh juga kelihatan Aifa dan rakan-rakannya telah berjaya mendapat makanan dan tempat duduk mereka. Manakala Sofia dan kumpulannya masih belum memesan apa-apa makanan. Lantas, Iman mengajak kawan-kawannya untuk hanya membeli makanan ringan sahaja sebagai mengalas perut. Tambahan pula mereka sudah pun mengambil sarapan pagi di kantin asrama sebelum ke sekolah pagi tadi. “Sofia, kita duduk bawah pokok depan sana sahajalah ya?”, tanya Sabrina pula kepada Sofia. “Jomlah, lagipun semua meja macam penuh”, jawab Sofia sekilas matanya terpandang kepada beberapa mata yang memerhatikan mereka.
“Best juga ada pokok mangga di sini, siap ada meja sekali”, kata Mumtaz sambil melabuhkan punggungnya di situ. “Ini rezeki kita kawan-kawan” tambah Sofia pula. Mereka hanya makan dua keping roti sandwich dan minum air mineral sejuk. “Banyak juga nak isi nanti borang yang cikgu beri tadi, bolehlah kita fill-up dekat asrama petang nanti’, kata Mumtaz kepada kawan-kawannya. “Saya risaulah, tidak tahu mana harus dipilih sama ada ingin masuk kelas Sains Tulen atau Sub Sains”, tiba-tiba Iman meluahkan rasa hatinya. “Saya rasa awak tidak perlu risau Iman, sebab sekejap lagi kita masih ada waktu untuk bertanya dengan Cikgu Noraini dan Cikgu Sabariah. Mereka pasti boleh tolong kita”, Sabrina cuba menyakinkan Iman dan beberapa kali menepuk tangan kawannya itu bagi menenangkannya. Nampak raut lega di wajah Iman seketika.
Setelah jam menunjukkan jam sepuluh setengah pagi, ini bermakna waktu rehat bagi tingkatan empat sudah tamat. Pelajar tingkatan lima pula akan menyusul sebentar sahaja lagi. Dewan Sri Budiman sekali riuh-rendah seketika dan kembali senyap untuk memberi tumpuan kepada penerangan yang bakal diberikan oleh cikgu Noraini dan cikgu Sabariah. “Pelajar-pelajar sekalian, kami telah membuat penempatan kelas untuk awak semua. Esok pagi sila rujuk nama dan kelas awak semua di papan notis di bilik Bimbingan dan Kaunseling. Sekiranya ada apa-apa masalah sila jumpa dengan kami berdua”, cikgu Noraini yang selalu tersenyum itu memang petah berkata-kata dan melegakan hati pelajar-pelajar. Setelah cikgu Sabariah menerangkan cara-cara untuk mengisi dua borang maklumat pelajar, pelajar dibenarkan pulang pada jam satu sepuluh minit petang.
Sewaktu pelajar sesi pagi pulang ke asrama, ramai pelajar sesi petang sudah bersiap-siap untuk mula ke sekolah. Sofia dan kawan-kawannya terus melangkah ke dewan makan asrama untuk menjamu selera tengahari itu. Lauk hari itu ialah sayur sawi goreng, sambal sotong dan sepotong buah tembikai berwarna kuning tanpa biji. Masa ambil makanan di kaunter tadi, Sofia terasa ingin minta lebih buah tembikai tetapi dia segan kalau pelajar lain nampak apatah lagi pelajar lelaki juga ada beratur di bahagian lelaki. Terlalu hampir dengan kawasan pelajar perempuan beratur, hanya di pisahkan dengan pagar-pagar besi. Pelajar-pelajar lelaki seramai empat orang itu merupakan pelajar senior tingkatan lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia  tahun ini. Tiba-tiba sahaja berdebar hati Sofia tatkala terpandang salah seorang pelajar tingkatan lima itu. Namanya ialah Ahmad Edzani B. Mukhtar. Edzani merupakan salah seorang pelajar harapan sekolah dan merupakan seorang pengawas sekolah. Cepat-cepat Sofia menyembunyikan raut wajah gusarnya tatkala menyedari kawan-kawannya yang lain yang sudah mulai makan.
“Malam ini kita ada perjumpaan dengan warden asrama di kantin ini. Lepas solat Isyak”, beritahu Mumtaz sambil mengenyit matanya kepada Iman. Dia tahu Iman tidak begitu suka kalau pihak asrama mengadakan perjumpaan kerana Iman lebih suka menghabiskan waktunya dengan tidur kalau ada waktu terluang. “Tahun ini saya akan berubah Mumtaz, saya tidak mahu asyik tidur saja, tahun depan SPM, jadi tahun ini saya akan mula struggle”, balas Iman kepada Mumtaz.  
Seperti yang telah diumumkan, majlis perjumpaan pertama penghuni asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Aman Jaya berjalan seperti yang telah dirancangkan oleh pihak pentadbir asrama. “Sekarang ni sudah pukul berapa Puteri?”, tanya Iman kepada Puteri Asyikin, pelajar tingkatan tiga yang berada di sebelahnya. “Sudah jam sebelas, akak”, jawab Puteri Asyikin sambil melihat jam di tangannya. “Saya sudah mengantuk Sofia”, kemudian Iman mengadu kepada Sofia menyatakan rasa hatinya yang begitu rindukan bantal busuknya. Barangkali dia sudah keletihan dengan aktiviti persekolahan hari ini, fikir Sofia sendiri. Sofia kemudian mengusap lembut tangan sahabatnya itu sebagai tanda meminta supaya bersabar. Selepas mengumumkan senarai nama baru barisan ketua, penolong , setiausaha, ahli jawatankuasa, ketua setiap biro atau unit  bagi kedua-dua ASPURA dan ASPURI, cikgu Zakri telah mengumumkan bahawa perjumpaan untuk semua pelajar yang telah dilantik akan diadakan pada hari Khamis ini pada pukul 9 malam bertempat di dewan makan asrama. Selepas itu cikgu Zakri bercakap dengan dua orang lagi warden asrama iaitu cikgu Ramli dan Ustaz Hassan. Mereka merupakan warden asrama yang bertanggungjawab mengenai disiplin dan tingkahlaku pelajar sepanjang pelajar-pelajar ini di bawah pengawasan mereka. Mereka bertiga juga tinggal dalam kawasan asrama di kuaters guru berhadapan dengan kawasan gelanggang badminton dan bola tampar asrama.
Sebelum bersurai, semua pelajar telah diberi dua helai kertas yang mana mengandungi segala peraturan asrama dan jadual hari orientasi yang bermula pada hari Jumaat ini. Semua pelajar kelihatan lega majlis perlantikkan ahli jawatan kuasa baru sessi 2007 telah berakhir.
Di dorm, kelihatan pelajar sudah ramai yang berada di katil masing-masing. Namun begitu, terdapat juga pelajar yang masih berbual sesama mereka. “Mumtaz, borang maklumat pelajar dan borang maklumat ibubapa sudah siap ke awak isikan?” tanya Sabrina kepada Mumtaz. “Sudah, Rin. Semua maklumat sudah saya sediakan sebelum ini, jadi mudahlah sedikit untuk isikan borang tersebut”, jawab Mumtaz sambil menepuk-nepuk bantal tidurnya itu. Selepas perjumpaan tadi mereka terus ke bilik air untuk menggosok gigi dan mengambil wudhuk, jadi sudah masanya mereka melelapkan mata. Jam di dinding dorm menunjukkan 11.40 minit malam. Patutlah Iman dan Sofia sudah lelap awal, rupa-rupanya masa sudah agak lewat.
Mengikut kebiasaan tahun-tahun lalu, warden atau ahli jawatan kuasa bertugas akan membuat rondaan selepas jam 11.30 malam bagi memastikan semua pelajar berada di dorm masing-masing untuk memastikan mereka mematuhi peraturan asrama dan demi menjaga keselamatan mereka daripada apa juga kemungkinan. Selepas waktu tersebut, biasanya lampu-lampu di setiap dorm dimestikan tutup dan pelajar tidak dibenarkan membuat bising. Tetapi sekiranya pada malam minggu seperti malam Jumaat dan malam Sabtu, pelajar-pelajar asrama biasanya akan tidur lewat sekiranya mereka ingin membuat ulangkaji lebih masa ataupun kerana program-program asrama yang telah dirancang, contohnya seperti program orientasi pelajar. Ada juga malam minggu di asrama akan digunakan oleh penghuninya untuk berbual-bual kosong sesama mereka.
Setelah mengambil sarapan pagi di kantin asrama, pelajar-pelajar sesi pagi akan mula ke sekolah. Sewaktu perjalanan ke sekolah bersama-sama Iman, Mumtaz dan Sabrina, Sofia terpandang ke arah Ahmad Edzani dan rakan-rakannya iaitu Syamil Mukhriz, Aizzat Emir dan Amar Zakuan. Setiap kali matanya terpandang Ahmad Edzani, dadanya berdebar-debar. Sesekali Sofia membetulkan tudungnya seakan-akan ingin menyembunyikan gelora di hatinya ketika itu. Dia cuba mengusir perasaan tersebut daripada bersarang dihatinya. Sofia mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Keempat-empat mereka itu adalah pemain pasukan bola sepak sekolah.  “Hensem juga Aizzat tu ya, Iman”, tiba-tiba terpacul ayat pujian daripada mulut Sabrina. Sabrina tahu pada tahun lepas Iman pernah juga menyuarakan rasa hatinya tentang dia mulai minat kepada pelajar lelaki yang bernama Aizzat Emir itu. Aizzat Emir yang mempunyai wajah seiras-iras Farid Kamil itu memang tampan. Hampir setiap pelajar perempuan meminatinya. Namun tidak pula mereka nampak dengan sesiapa pun dia berpacaran. Mumtaz dan Sofia saling berpandangan dan tersenyum bersahaja bila tajuk perbualan mereka pagi-pagi itu berkisar mengenai seorang lelaki yang menjadi pujaan di sekolah mereka.
“Rin, saya rasa Syamil Mukhriz lebih sesuai dengan awaklah. Muka awak berdua pun seiras-iras. Orang kata kalau muka seiras, tentu ada jodoh nanti”, Mumtaz cuba mengusik Sabrina dan muka Sabrina berubah menjadi kemerahan menahan malu. “Apa pendapat awak Sofia?”, tanya pula Mumtaz kepada Sofia yang hanya tersenyum dari tadi. “Apalah awak ni Mumtaz, tak baik tau nak libatkan saya. Tetapi saya setuju saja kalau Syamil Mukhriz ingin berkawan dengan Rin ni”, balas Sofia cuba mengenakan Sabrina. “Apa kurangnya Syamil tu Rin, dia penjaga gol pasukan bola sepak sekolah kita tau”, sambung Iman pula selamba. Kemudian, mereka ketawa berdekah-dekah dek kerana merasa yang Sabrina memang secocok dengan Syamil Mukhriz. “Cukup-cukuplah kenakan saya ni, jom perhimpunan sudah bermula tu”, Sabrina yang sudah malu dengan usikan kawan-kawannya sudah tidak tahan rasa malu diusik sebegitu. Memang Syamil Mukhriz langsung tiada dalam senarai ciri-ciri lelaki yang diminati olehnya.
Setelah selesai perhimpunan sekolah pada pagi itu, pelajar-pelajar tingkatan empat diminta oleh cikgu Sabariah supaya berkumpul sekali lagi di Dewan Sri Budiman untuk semakan kemasukan kelas tingkatan empat mengikut aliran masing-masing. Penempatan pelajar-pelajar tingkatan empat ini dibuat oleh guru berdasarkan keputusan PMR mereka yang lalu. Kelihatan pada senarai di papan kenyataan ada tujuh kelas tingkatan empat pada tahun ini. Kelas yang pertama ialah tingkatan empat Seroja dan diikuti oleh empat Melur, Teratai, Rafflesia, Angerik, Kenanga dan empat Dahlia. Pelajar di kelas Seroja dan Melur merupakan kumpulan pelajar yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen yang mana mata pelajaran elektifnya ialah Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan. Manakala kelas tingakatan empat Raflesia pula mengambil semua matapelajaran elektif Sains tulen kecuali Matematik Tambahan dan di tukar kepada mata pelajaran Information, Communication and Technology atau nama ringkas subjek ini ialah ICT. Kelas tingkatan empat Kenangan dan Teratai pula mengambil aliran sastera iaitu mata pelajaran elektif mereka ialah Tasawur Islam, Perdagangan, Ekonomi dan Pendidikan Seni. Manakala kelas tingkatan empat Anggerik pula adalah aliran sub sains yang mana mereka mengambil mata pelajaran Akaun, Matematik Tambahan dan Perdagangan dan Ekonomi sebagai mata pelajaran elektif mereka. Mata pelajaran teras yang lain adalah sama untuk semua kelas yang ada termasuklah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden dan Sejarah.
“Perhatian untuk semua pelajar, sila semak nama awak semua di papan kenyataan dan esok boleh mula masuk kelas masing-masing seperti biasa. Jadual akan diagihkan kemudian kepada semua guru-guru kelas yang terlibat”, begitu jelas sekali arahan yang telah dikeluarkan oleh cikgu Sabariah selaku guru di Unit Bimbingan dan Kaunseling yang terlibat secara langsung dalam penempatan pelajar tingkatan empat ini. “Sekiranya nama awak tiada dalam senarai, sila berjumpa dengan saya dan kepada sesiapa yang ingin menukar aliran diharapkan bersabar dan saya yakin kita dapat menentukan kelas awak semua dalam minggu ini juga atau paling lambat ialah minggu depan”, sambung cikgu Sabariah lagi. “Buat masa ini, saya berharap agar semua pelajar masuk dahulu ke kelas yang telah ditetapkan, jangan bimbang ya pelajar-pelajar kerana kita masih lagi berkesempatan untuk membuat sebarang perubahan kelas dalam masa terdekat ini”, kata-kata lembut cikgu Noraini juga turut membantu pelajar-pelajar yang sudah bercelaru dengan pilihan aliran mereka.
Sebelum waktu rehat bermula, pelajar-pelajar tingkatan empat juga diingatkan agar mereka menyerahkan dua borang maklumat pelajar kepada guru kelas masing-masing pada keesokkan hari bagi tujuan rekod murid di bahagian Sistem Maklumat Murid (SMM) dan tujuan pengawasan disiplin setiap pelajar. Kelihatan pelajar-pelajar mula meluru ke arah papan kenyataan yang dipaparkan nama pelajar dan nombor kad pengenalan mereka yang telah siap disusun atur mengikut kelas aliran mereka. Ada beberapa orang pelajar yang menjerit dan melonjak kegirangan dan ada juga pelajar yang berkerut-kerut barangkali mereka masih tidak faham kenapa mereka ditempatkan di kelas tersebut. Semuanya adalah berdasarkan keputusan dan prestasi setiap pelajar dalam peperiksaan PMR mereka.  Mereka pasti akan mengutarakan setiap persoalan kepada guru kelas yang akan bertanggungjawab untuk kelas mereka esok hari. Iman dan Sofia juga tidak ketinggalan menyertai kumpulan pelajar itu untuk menyemak nama mereka. Mereka berdua rasa gembira dan bersyukur kerana mereka berdua ditempatkan dikelas yang sama. Apa yang paling mereka suka ialah Mumtaz dan Sabrina juga akan berada sama-sama  dalam senarai kelas tingkatan empat Melur. Senanglah mereka nanti untuk berbincang dan membuat kerja sekolah bersama-sama. Inilah yang dikatakan Generasi Hebat! Mereka saling berpelukan kerana terlalu gembira.
Setelah menyemak nama dan kelas, pelajar-pelajar mula bergerak ke kantin untuk mengambil sarapan pagi mereka pada waktu rehat ketika itu. Daripada jauh, mata Sofia melirik kepada Aifa yang sedang ketawa bersama rakan-rakannya menuju ke kantin sekolah. “Saya rasa saya tidak mahu ke kantin hari ini, perut masih kenyang lagi”, beritahu Sofia kepada kawan-kawan baiknya. Sofia berkira-kira untuk duduk di bangku kayu di sebelah dewan sekolahnya itu. Bolehlah dia menghabiskan bacaan buku motivasi yang diberikan oleh kakaknya, Farahin sebelum dia berangkat ke kampus minggu lalu. Buku bertajuk Seteguh Tekad diterbitkan oleh Alaf 21memang akan memberi kesan mendalam kepada setiap pembacanya kerana buku genre autobiografi ini ditulis oleh Prof. Dr. Sidek Baba, seorang tokoh pendidik yang berjiwa besar dan beliau melalui autobiografi ini mengajak pembacanya menilai erti sebuah kehidupan yang amat perlu diisi dengan ilmu pengetahuan. Bagi Sofia sendiri, buku ini juga menceritakan pengalaman penulis dan menyelami kehidupan penulis dalam menjejak tangga-tangga kejayaan. Dia begitu kagum dengan jiwa kental yang dimiliki oleh Prof. Dr. Sidek Baba.

**         **         **         **         **         **         **






No comments:

Post a Comment