Bab 2: Kembali ke sekolah
Alhamdulillah…Lega hati Sofia kerana hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Segala keperluan untuk dibawa ke asrama petang nanti sudah lengkap. Awal-awal lagi Encik Razif dan Puan Haryati mengingatkan agar Sofia tidak lupa untuk membawa segala keperluannya tanpa ada satu pun yang tertinggal di rumah. Sofia sudah betah dengan sifat prihatin kedua-dua orang tuanya. Mereka bertolak sesudah selesai solat Zohor. Sepanjang perjalanan ke asrama, Sofia tidak henti-henti bercakap dan turut mengingatkan ayah dan ibunya supaya datang melawatnya di asrama sekiranya dia tidak dapat pulang ke rumah. Kebiasaannya, pelajar yang tinggal di asrama akan dibenarkan pulang ke rumah hanya dua kali sebulan, iaitu pada petang hari Khamis pada minggu kedua dan minggu ke empat setiap bulan. Hari persekolahan di kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia iaitu negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah hanya akan bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu dan ini bermakna mereka bersekolah dari hari Ahad sehinggalah hari Khamis.
Pintu gerbang besar yang cantik di jalan masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Aman Jaya seperti menggamit kehadiran Sofia dan keluarganya. Puan Haryati tahu anaknya itu tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan sesi persekolahan 2007 yang akan bermula pada 1 Januari. Sambil mencuit lengan suaminya, Puan Haryati mengenyit mata kepada Encik Razif menarik perhatian suaminya dan mengerling sekilas kepada Sofia. Mereka tahu Sofia memang seorang yang boleh berdikari dan mempunyai cita-cita yang tinggi. Setiap apa yang dikata oleh Sofia mesti akan dikotakan olehnya. Kalau tidak, masakan Sofia mampu bertahan untuk tinggal di asrama sedari umurnya seawal tiga belas tahun lagi. Dari jauh kelihatan ramai ibu bapa yang datang untuk mendaftar kemasukan anak masing-masing ke asrama sekolah ini.
Setelah selesai urusan pendaftaran dan pembayaran, Encik Razif segera mengambil barang-barang keperluan anaknya itu dari tempat simpanan barang di dalam ‘boot’ kereta. Sebelum beredar pulang, Encik Razif dan Puan Haryati tidak putus-putus berpesan agar Sofia bijak dalam pergaulan sepanjang tempoh berada di asrama dan mesti mengikuti segala peraturan yang telah ditetap oleh pihak pengurusan asrama. Malah ibunya, Puan Haryati tidak pernah jemu-jemu berpesan agar Sofia sentiasa menjaga lima waktu solatnya. Sebelum beredar, Sofia bersalam dan mencium tangan ayah dan memeluk dengan erat ibunya. Akhirnya, deruman enjin kereta ayahnya sayup-sayup jauh meninggalkan Sofia sendiri. Dia melambai-lambai kepada ayah dan ibunya sehingga mereka hilang daripada pandangan matanya. Airmata diseka dengan hujung lengan baju kurung oleh Sofia untuk mengelak daripada di lihat oleh pelajar-pelajar lain yang ada berhampiran dengannya. Tiba-tiba terasa oleh Sofia bahunya dicuit oleh seseorang. “Hai Sofia, Assalamualaikum!”. Sofia berpaling dan suara itu amat dikenalinya. “Hai Reen, upsss…Waalaikumusalam. Awak ni pun Sabrina, main cuit-cuit yer”. Lalu ditarik tangan sahabatnya itu dan dipeluknya erat-erat. Rindu seorang sahabat yang lama tidak berjumpa. “Reen, awak sihat ke, mana kawan-kawan kita yang lain?” tanya Sofia kepada Sabrina. Reen adalah nama pendek yang dipanggil oleh semua kawan-kawan kepada Sabrina Bt. Haji Iskandar di sekolah. Orangnya yang agak berisi, berkulit cerah dan manis bercermin mata. “Mereka sudah naik atas, sedang tunggu awak yang paling lambat datang”, jawab Sabrina sambil tersenyum girang kepada Sofia. Pelajar tingkatan empat bersama-sama dengan pelajar tingkatan dua dan tingkatan satu ditempatkan di ‘dorm’ yang paling atas sekali iaitu di tingkat empat bangunan ASPURI Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman Jaya. Mereka di tempatkan dalam satu dorm yang sama di tingkat empat kerana mereka adalah tingkatan yang terkecuali daripada tingkatan tiga, lima dan enam atas yang akan menduduki peperiksaan utama seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia. P elajar-pelajat tingkatan enam bawah dan enam atas pula ditempatkan di tingkat dua asrama dalam dorm yang sama. Manakala pelajar-pelajar tingkatan tiga dan lima ditempatkan di tingkat 3. Tingkat satu asrama mempunyai beberapa bilik utama seperti surau, bilik tayangan, bilik menggosok pakaian dan bilik bacaan. Setiap tingkat mempunyai bilik belajar mengikut tingkatan dan bilik air dan tandas juga terdapat pada setiap tingkat untuk kemudahan pelajar. ASPURI ialah singkatan daripada perkataan Asrama Puteri manakala Asrama Putera dikenali sebagai ASPURA. Kedua-dua bangunan ASPURA dan ASPURI dipisahkan oleh satu bangunan dewan makan.
Sabrina bergandingan bersama-sama dengan Sofia sambil membawa baldi dan Sofia menjinjing dua beg sederhana besar berisi uniform sekolah dan pakaian harian yang akan digunakan sepanjang berada di asrama nanti. Setelah sampai di muka pintu dorm, kedengaran dari jauh suara-suara sahabatnya yang setia menanti Sofia. Kelihatan Nadia, Mumtaz dan Iman dari hujung penjuru dorm. Mereka masih lengkap berpakaian uniform batik asrama yang berwarna merah jambu dan kain berwarna hitam. Nampaknya mereka sengaja melengahkan masa sementara menunggu jam 6 petang untuk makan malam. “Apa khabar awak Sofia?”, sambil bersalam Iman bertanya kepada Sofia. “Saya sihat, tengok badan ni dah naik”, jawap Sofia kepada Iman sambil bercekak pinggang untuk menunjukkan badannya yang semakin gemuk. Mereka ketawa bersama-sama. Nurul Iman binti Mohd Redzuan ialah seorang atlit sekolah dalam acara sukan di SMK Seri Aman Jaya. Pada tahun lalu, sekolah telah memilih Iman sebagai Olahragawan sekolah di atas kejayaanya itu. Maka tidak hairanlah jika badannya yang tegap seperti lelaki itu sepadan gaya seorang ahli sukan. Ibunya adalah seorang guru manakala ayahnya mempunyai syarikat perniagaan perabot sendiri. “Mana ada gemuklah Sofia, perasan saja awak ni”, sambung Mumtaz pula. “Kalau setakat empat puluh lima kilogram tu, sesuailah dengan ketinggian awak tu cik Sofia oii!”, Sabrina bersetuju dengan kata-kata Mumtaz sebentar tadi. Mumtaz Bt. Kyairul Hafizi ialah pelajar sekelas dengan Sofia sejak tingkatan satu lagi. Dia merupakan pelajar yang petah bercakap dan menyertai pasukan debat dan pidato sekolah. Mereka berempat berkawan bersama-sama daripada tingkatan satu dan masih bersama-sama tinggal di asrama. Rupa-rupanya Iman telah pun mengecop atau menandakan katil untuk mereka berempat. Sofia dan Mumtaz akan tidur di bahagian bawah manakala Iman dan Sabrina akan berada di katil atas. Ring…….ring…..kedengaran loceng menandakan waktu makan malam sudah bermula. Waktu makan malam bermula pada jam enam petang sehingga jam lapan malam. Mereka beiringan dan bertembung dengan beberapa penghuni asrama yang lain yang sama-sama ingin menikmati makan malam mereka yang pertama pada sessi persekolahan 2007.
Selepas makan malam ramai pelajar sudah mula bersiap-siap untuk membersihkan diri kerana mereka perlu bersolat jemaah Maghrib dan Isyak di surau sekolah. Sabrina dan Sofia beriringan ke bilik air manakala Iman dan Mumtaz sudah pun awal-awal ke bilik air.
Sofia tidak perlu tergesa-gesa kerana hari itu merupakan hari kedua dia datang bulan pada bulan ini. Maka dapatlah dia mengemaskan barang-barangnya nanti sementara menunggu kawan-kawan lain yang pulang daripada surau nanti. Usai mandi, Sofia mengenakan baju t-shirt berlengan pendek dan seluar trek panjan berwarna biru tua. Tuala disidai di hujung katil. Rambutnya disikat perlahan-lahan dan bedak Carrie Junior dioles nipis ke mukanya. Sofia mengambil dua beg pakaian daripada bawah katilnya dan mula mengeluarkan semua pakaiannya serta segala keperluannya seperti hanger, empat pasang baju sekolah, seluar track bottom, beberapa helai baju t-shirt, tudung, tuala dan pakaian lain. Memang Sofia memang cermat dalam mengatur segala barang-barang keperluan miliknya. Jam kecil bercorak bunga matahari disusun di atas meja kecil sebelah katil. Buku kecil yang berbalut rapi warna biru laut di letak di bawa selimut di bawah bantal tidurnya. Sudah menjadi kebiasaan bagi Sofia untuk membaca Surah Yasin pada setiap malam Jumaat. Dia percaya bahawa ayat-ayat suci Al-Quran boleh menghindarkan segala macam penyakit juga mempunyai kaifiat untuk menghindari ganguan makhluk halus. Sofia tersenyum sendiri dan berasa kagum dengan kekuatan setiap ayat dalam Al-Quran. Setelah selesai memasang cadar dan mengemaskan katilnya, Sofia baring sekejap cuba menghilangkan lenguh kakinya. Hari kedua datang bulan bagi setiap perempuan sememangnya amat memenatkan.
Memandangkan bangunan asrama yang agak berdekatan dengan stesyen keretapi, memang sudah biasa bagi penghuni asrama mendengar isyarat daripada stesyen keretapi Tanah Merah menandakan keretapi akan memulakan perjalanan ke destinasinya. Sofia pernah berjalan kaki bersama-sama Nadia, Iman, Mumtaz dan Sabrina melalui stesyen keretapi tersebut untuk ke Bandar Tanah Merah. Dia juga perasan yang pihak Keretapi Tanah Melayu menamakan keretapi ekspres yang beroperasi pada sebelah malam sebagai Keretapi Ekspres Senandung Malam. Destinasi keretapi ekspres ini ialah dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan Singapura. Sofia sekali-sekala meyela rambutnya yang menutupi sebelah mata kanannya kala di hembus angin. Dari jauh juga Sofia dapat menangkap bunyi derapan selipar oleh penghuni-penghuni asrama yang telah selesai menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di surau sekolah. Selang seli kedengaran mereka berbual-bual dan bergelak ketawa antara mereka. Mungkin terlalu banyak cerita yang ingin dikongsi bersama rakan-rakan setelah hampir dua bulan tidak bersua muka. Pagi esok akan bermula sesi persekolahan 2007.
** ** ** ** ** ** **
No comments:
Post a Comment